Kali ni pengunjung blog Reezluv.com bertuah sebab korang dapat baca interview dari salah seorang businessman online yang berjaya iaitu saudara Noorizam Shah.Siapa beliau dan juga nak tahu apakah soalan yang diajukan kepada beliau? Semuanya aku akan kongsikan dengan korang di entry yang best ini. Siapakah Noorizam Shah ini dan kenapa aku menginterview beliau ye? Aku kenal dengan Noorizam ni secara online dah lama sejak dalam forum Wangcyber lagi. Pada mulanya beliau masih mencari-cari bisnes online yang mana yang akan menjadi pilihan beliau. Beliau memilih Ebay..dan hasilnya..memang begitu mengejutkan. Cuba lihat, siapa dia sekarang..
Sekarang mari kita sama-sama kenal dengan lebih dalam lagi tentang Noorizam Shah ini ye

Noorizam Shah
Soalan 1
Boleh saudara terangkan sedikit mengenai latar belakang saudara dan bagaimana tercetusnya idea nak masuk ke dunia Ebay?
Saya berasal dari Negeri Sembilan. Saya mula mempelajari ilmu perniagaan internet secara serius pada tahun 2005. Ketika itu saya bukanlah seorang yang faham bagaimana untuk menghasilkan jualan atau menjana pendapatan di internet.
Memandangkan minat yang mendalam dan hobi saya suka melayari internet setiap hari, saya mula mempelajari ilmu perniagaan, pemasaran, pengiklanan dan beberapa perkara teknikal di internet.
Laman web pertama yang saya bina ialah Pelamin.net pada penghujung tahun 2005. Itu pun selepas saya membaca buku tulisan Dr. Irfan Khairi berulang kali. Pada tahun 2005 juga saya telah mengetahui kewujudan laman web eBay sedangkan laman web ini telah pun beroperasi di dunia sejak tahun 1998.
Ketika itu pun saya tidak lagi mendaftar akaun di eBay kerana tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Cukuplah sekadar menjenguk dan melawat laman web eBay. Saya juga tidak diberi pendedahan sebenar mengenai kehebatan menjalankan perniagaan di eBay.
Saya mula mendaftar akaun di eBay pada tahun 2006, itu pun selepas membaca satu artikel menarik mengenai eBay di sebuah blog usahawan internet tempatan ketika itu dan saya mula menyelidik laman web ini.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut boleh lawati Latar Belakang Noorizam Shah
Soalan 2
Apakah barang pertama yang berjaya dijual di Ebay dan berapakah nilainya? Kongsikan jika tidak keberatan.
Barang pertama saya juga di eBay (saya bermula di eBay Malaysia) ialah stem. Saya menjual produk-produk yang saya miliki di rumah seperti minyak wangi, CD, stiker dan key chain. Apabila saya melihat potensi tersebut saya mula kembangkan jualan saya ke pasaran luar negara.
Soalan 3
Apakah perkara pahit dan perkara manis ketika menjual di Ebay?
Sepanjang saya berkecimpung dalam perniagaan di internet bermula secara sampingan kemudian serius sehingga hari ini, memang banyak pengalaman pahit manisnya.
Antara pengalaman pahit ialah akaun saya telah digantung (suspend) oleh eBay kerana melanggar beberapa polisi. Di atas kecuaian saya itu, saya tidak dapat menjalankan perniagaan hampir 30 hari dan nasiblah pengalaman itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus menjalankan perniagaan di sana.
Kenapa saya tidak pernah jemu menjalankan perniagaan di eBay adalah kerana lebih banyak perkara manis yang saya perolehi antaranya, saya mampu memperolehi pelanggan dari seluruh pelusuk dunia. Jika silap hari bulan, akan ada pelanggan yang datang dari Negara Israel. Apa pun ia memang satu pengalaman berharga buat saya. Memperolehi pendapatan 5 angka di eBay menjadi matlamat ramai orang di luar sana dan saya telah pun kecapinya.
Soalan 4
Jika saudara Noorizam tidak menjalankan bisnes Ebay, rasanya apakah yang saudara buat sekarang?
Jika saya tidak menjalankan perniagaan di eBay mungkin saya menjalankan perniagaan internet lain. Ini kerana hati saya telah jatuh cinta dengan internet. Apa juga yang saya ingin lakukan ia mestilah berkait rapat dengan penggunaan internet.
Untuk pengetahuan anda, selain menjalankan bisnes di eBay, saya juga memperolehi pendapatan melalui blogging, menyertai program-program affiliate, mengadakan sesi Personal Coaching, Seminar dan memberi khidmat nasihat kepada mereka yang ingin mempelajari ilmu perniagaan internet.
Soalan 5
Jika saudara diberi lampu ajaib, apakah 3 hajat yang diinginkan dalam hidup?
Mungkin saya tidak punya pengalaman di beri lampu ajaib ini dan jika diberikan kepada saya, mungkin saya masih lagi tertanya-tanya. Antara 3 hajat yang saya inginkan selain kebahagiaan di akhirat ialah, kesenangan hidup, kesihatan yang baik dan mampu berbakti kepada masyarakat tanpa rasa jemu.
Soalan 6
Apakah pesanan dan nasihat kepada mereka diluar sana yang ingin menceburi bisnes Ebay?
Setiap orang mempunyai matlamat dan impian berbeza. Jika anda ingin menceburi bisnes eBay, sebaiknya anda mempelajari ilmu-ilmu asas dan fahamkan bagaimana laman web eBay itu berfungsi, bermula dari mendaftar, membuang listing, menerima bayaran, berkomunikasi, membungkus produk dan memberi maklumbalas.
Ketahui apa yang boleh dijual dan begitu juga sebaliknya. Dengan memahami persekitaran eBay, sentiasa belajar dan terus belajar, ia dapat meminimakan langkah dari melaku kesilapan. Buktinya telah ramai anak Malaysia yang berjaya menghasilkan jualan melebihi 4 angka sebulan di eBay. Anda mungkin dikalangan tersebut selepas ini. Selamat maju jaya.
Begitulah al kisahnya beberapa soalan yang sempat ditanyakan kepada bro Noorizam Shah ini yang mana merupakan salah sorang otai Ebay di Malaysia ni sekarang selain Shahraduan dan juga Sifulan.Nantikan nanti ada beberapa orang lagi IM akan ditemu ramah menerusi blogpost ini atau mungkin juga temuramah secara audio akan dijalankan..tetapi rasanya mungkin tidak. Aku lagi selesa buat macam ni..hehehe..
Apa pun ucapan salam penghargaan diucapkan kepada bro Noorizam Shah sebab sudi meluangkan masa menjawab soalan interview ini, diharapkan menjadi salah seorang icon yang berjaya dalam bisnes online di peringkat dunia.Mana tau boleh masuk Majalah TIMES nanti.hehe..apa pun trimas…:P
Related posts: